Salam untuk sayang-sayang semua :-)
Macam dah lama sangat tak membebel kat sini. Bukan macam, memang dah lama tak pun hahahaha. Fuhhhh..tiup habuk dan sawang dalam rumah jap :-)
Dalam hati, macam-macam nak sembang dan berkongsi rasa dengan sayang-sayang semua. Tapi apakan daya, bila kemalasan dah menguasai jiwa.. pendek kata apa pun tak boleh kahkahkahkah...
Sebenarnya aku sedang dalam fasa-fasa terakhir kehamilan. Dah nak masuk 37 minggu. Insya Allah, mengikut perancangan doktor, memandangkan aku ada darah tinggi dan kencing manis maka aku perlu bersalin seawal 2 minggu dari tarikh jangkaan bersalin. Slip kemasukan ke wad sudah diterima. Aku akan dimasukkan ke wad pada minggu ke-38 pada 02 Jun 2013 nanti. Akan di induce pada 03 Jun 2013. Perasaan aku ? Dah tentulah sangat nerveous. Bermacam-macam rasa sedang berlegar-legar di dalam fikiran aku ni.
Ini momen pertama yang dinanti-nanti selepas 10 tahun. Sepanjang kehamilan, bukan sedikit aku diduga dengan pelbagai kesulitan dan kesakitan. Tapi alhamdulillah, semua kepayahan itu membuat aku dapat merasai serta menghargai kesusahan dan kemanisan menjadi seorang bakal ibu.
Saat tanganku merasai tendangan manja bayi di dalam perut, saat bayi seakan memberi tindak balas di dalam perut setiap kali aku berkomunikasi dengannya, saat dia meregangkan badannya sehingga membuatkan perutku kerap menjadi kejang dan keras, saat dia diam di dalam perutku menikmati waktu tidurnya yang nyaman, saat dia menjadi sangat aktif bila kuperdengarkan bacaan surah dan juga alunan muzik dan pelbagai momen yang membuat aku terfikir, bagaimana boleh ada insan yang tegar membuang bayi seakan membaling sampah di pembuangan dan bagaimana boleh ada insan yang tegar menyakiti hati seorang ibu yang tidak sedikit berkorban untuk melahirkan serta membesarkan.
Demi Allah, peluang-peluang manis yang aku nikmati ini membuat aku lebih bermuhasabah diri dan mengerti, memahami dan lebih menghargai ibuku lebih dari saat-saat sebelum ini. Ibu, dia yang terlebih bimbang dengan kesihatan aku. Setiap kali menelefon dia, setiap kali itulah tangisan dia berlagu di hujung perbualan meminta aku sentiasa menjaga diri, kuat dan bertenang di waktu kelahiran nanti. Lihat, bagaimana kasih seorang ibu tak pernah berhenti walau dalam apa jua keadaan kan ?
Kepada sayang-sayang semua, doakan semuanya akan berjalan dengan baik untuk aku pada hari aku dijangka bersalin nanti. Kepada sayang-sayang yang masih menunggu dengan sabar kehadiran buah cinta kalian, doa aku sentiasa untuk kamu semua walaupun hakikatnya mungkin kita tidak saling mengenal paras rupa atau hanya saling bertutur bicara secara maya.
Percayalah, kesabaran yang tiada jemu itu sangat manis dipenghujungnya.
Nota Kaki:
Saat aku merasa aku sudah menjadi sangat kuat, tetapi tidak sebenarnya bila aku selalu menangis hanya kerana memandang wajah tua seorang ibu.











